Tingkatkan kefahaman, kesedaran mengenai amalan asas Islam





Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Kemajuan Pelancongan





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 14 Mei. - Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan kerjasama Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama mengendalikan sesi latihan mengenai kesedaran peraturan dan pemahaman asas amalan Islam bagi 35 orang pemandu pelancong yang berdaftar dan berlesen di bawah Jabatan Kemajuan Pelancongan, bertempat di PDI.


Hadir bagi menyampaikan sijil kepada para peserta ialah Pemangku Pengarah PDI, Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman.


Sesi latihan berkenaan telah diadakan bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran para peserta mengenai amalan asas Islam serta prinsip-prinsip asas hukum Syariah di Negara Brunei Darussalam (NBD), sekali gus membantu pemandu pelancong berlesen menyampaikan maklumat yang tepat, berhemah dan bersesuaian dalam pelaksanaan tugas mereka.


Latihan ini bertujuan untuk memberikan pemahaman umum mengenai amalan-amalan utama dalam Islam seperti solat, puasa dan wuduk, di samping menjelaskan kepentingannya dalam kehidupan seharian umat Islam.


Selain itu, para peserta turut didedahkan kepada prinsip-prinsip asas undang-undang jenayah Syariah, bagi meningkatkan kefahaman yang tepat terhadap perkara-perkara berkenaan.


Melalui sesi ini, para peserta turut dilengkapkan dengan pengetahuan asas bagi memastikan pemahaman, tafsiran dan penyampaian maklumat yang betul dalam konteks yang berkaitan, khususnya ketika berinteraksi dengan pelancong dan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.


Latihan ini juga bertujuan untuk memupuk kesedaran yang tepat serta membantu membetulkan salah tanggapan umum mengenai amalan ibadah dan undang-undang jenayah Syariah dalam masyarakat.


Di samping itu, sesi latihan ini turut menggalakkan perbincangan yang lebih berinformasi serta membantu para peserta melaksanakan peranan dan tanggungjawab mereka secara profesional, hormat dan mematuhi undang-undang negara.


Pengetahuan ini adalah penting bagi memastikan maklumat yang disampaikan kepada para pelancong adalah tepat, jelas, berhemah dan bersesuaian dengan nilai-nilai tempatan.


Penganjuran latihan ini juga mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Kemajuan Pelancongan dalam memastikan setiap pemandu pelancong berlesen mempunyai kefahaman asas mengenai amalan Islam di NBD, agar penyampaian perkhidmatan yang diberikan bukan sahaja kompeten dan profesional, malah turut mencerminkan identiti negara yang bersandarkan falsafah Melayu Islam Beraja serta keharmonian masyarakat.


Secara keseluruhannya, inisiatif ini diharap dapat menyumbang kepada peningkatan mutu perkhidmatan pemandu pelancong, di samping memperkukuhkan kualiti serta imej industri pelancongan NBD.


Close